Thursday, September 17, 2015

Hidup Itu Sentiasa Susah dan Sesak

Hidup memang susah dan payah. Sungguh menyesakkan dada, tetapi hanya setakat yang kita biarkan hidup menyusahkan kita.

Duri-duri memang menyakitkan tapi sebahagian penting dari kehidupan

Kesusahan dalam hidup adalah halangan-halangan atau duri pedih dalam perjalanan kita. Adalah merupakan sebahagian dari lumrah manusia untuk memiliki impian dan angan-angan. Selalu kita menggambarkan perjalanan ke arah kejayaan ini sebagai satu jalan yang lurus dan pendek. Nyatanya, hakikat kehidupan tidaklah semudah itu.

Apakah Penyebab Kesusahan Dalam Hidup ?


Sebagaimana maklum, kita bukanlah berpijak keseorangan di dunia ini. Kita semua ada keluarga, rakan-rakan dan juga terdapat berbilion umat manusia yang tak mungkin kita kenali setiap orang daripada mereka dalam satu nyawa ini. Selain itu, terdapat juga kehidupan yang lincah ke sana sini yang tancap berakar tetap di tanah, dan juga benda bukan hidup seperti batuan, tanah dan udara, Setiap daripada unsur-unsur ini boleh mendatangkan musibah dan kesusahan kepada kita. Cuba bayangkan

  • biskut kegemaran anda dicuri-habiskan oleh adik anda
  • kehilangan datuk atau nenek kerana ajal
  • terperangkap dalam tangki dan lemas tanpa oksigen
Setiap dari perkara di atas boleh dikatakan sebagai satu sudut menyakitkan dalam kehidupan yang membuatkan kita sedih, dan kasihan. Malah jikalau anda berada di satu pulau bersendirian pun, hidup tidak berhenti dari mendatangkan masalah. Makanan masih perlu diburu dan dicari, begitu juga dengan air. Kalau anda seorang ahli perniagaan, hidup berseorangan akan menghalang anda dari berniaga atau mengembangkan perniagaan tersebut apabila anda sendiri merupakan satu-satunya pelanggan.

Setelah melihat kepada perkara ini dari sudut pandangan di atas, nyatalah bahawa mustahil untuk kita hidup tanpa masalah. Masalah itu merupakan syarat wajib yang datang dengan satu kewujudan. Kaya atau miskin, lelaki atau perempuan, raja atau hamba, semua orang akan menghadapi kesukaran. Haiwan pun setiap hari menempuh cabaran mencari makan. Batuan dan unsur-unsur tidak hidup juga sentiasa diolah oleh perubahan dari segi cuaca dan faktor lain yang memaksa mereka berubah. Kewujudan itu bermakna terdedah kepada arus perubahan yang berterus-terusan. Dan adalah sebahagian dari naluri manusia untuk benci kepada perubahan yang tidak dapat dilihat sebagai positif dengan serta-merta.

Tindakbalas Kita Terhadap Masalah Kehidupan


Ada di antara kita insan-insan yang seolah-olah dilahirkan untuk merungkai masalah kehidupan. Untuk mereka ini, tiada gunung terlalu tinggi, tiada sungai terlalu lebar. Mereka mampu untuk maju dan terus maju seperti tiada apa-apa bagi mereka. Tetapi ada juga di antara kita yang terduduk dalam lumpur, terus mengadu dan merajuk walaupun dengan masalah yang mudah. Bukan sedikit yang melencong ke arah penggunaan dadah, rokok, arak, hubungan jenis dan lain-lain benda yang melalaikan dan melalikan supaya dapat melupakan masalah hidup, hanya untuk terjerumus lebih dalam masuk ke lembah kehinaan dan kemunduran.

Cuba dan tanyakanlah individu-individu yang mengalami masalah depresi tentang kecenderungan mereka untuk tidur apabila bayang-bayang masalah datang menjelma. Tidur itu merupakan satu keadaan yang kurang terdapat peluang untuk berlakunya perubahan luaran. Saya merasakan ini adalah tindakbalas yang alami untuk mengurangkan atau mengelak dari masalah-masalah baru.

Depresi boleh membuatkan seseorang itu kurang aktif, penat, sedih dan keseorangan

Jika kita melungsuri sejarah, terdapat banyak kisah atau kes sama ada orang-orang terkenal dan berjaya atau tidak yang telah memilih untuk mengakhiri kehidupan mereka dengan membunuh diri. Membunuh diri melenyapkan kewujudan, dan ini memang satu jawapan untuk menghentikan masalah. Tetapi saya merasakan membunuh diri itu juga bermaksud memilih untuk membunuh jiwa yang belum matang sebelum sempat ia melahirkan keupayaannya yang sebenar untuk menjadi berjaya. Alangkah malangnya !

Sebagai seorang yang pernah mengalami depresi, saya berpendapat bahawa insan seperti kami merasa letih dan penat akibat dari perubahan yang negatif, akibat dari masalah kehidupan yang seolah-olah tiada jalan keluar darinya. Kadang-kadang tanggapan bahawa masalah itu terlalu besar, dan tidak mahu lagi melayan masalah-masalah lain (walaupun yang mudah dan kecil). Atau mungkin juga menghadapi kesusahan hidup berseorangan terlalu menyesakkan, dan seolah-olah tiada orang lain yang sudi berkongsi beban. Penghidap penyakit depresi memilih untuk memencilkan diri dari 'wujud di luar sana' supaya kurang terdedah kepada masalah-masalah kehidupan.

Memenangi Masalah Hidup

Saya percaya bahawa kemenangan ke atas cabaran hidup tidak terjadi secara luaran, tetapi mesti keluar dari dalam jiwa seseorang. Setiap insan harus mengingatkan diri mereka yang selagi kita wujud dan hidup, ketidakselesaan akan senantiasa datang dan kitalah yang menentukan bagaimana untuk bertindakbalas. Kita boleh memilih untuk bangun dan melawan secara fizikal, iaitu mengambil langkah-langkah tertentu, atau bersedia dari segi mental untuk menerima dan menghadapinya secara positif. Selalunya, kedua-duanya perlu dilakukan untuk melangkaui cabaran tersebut.

Walaubagaimanapun, demi kesihatan minda adalah sangat penting untuk kita sedar bahawa selagi kita wujud selagi itulah kesukaran akan datang menjelma dan menghantui. Oleh itu, pemenang yang hakiki adalah orang yang dapat menghadapi masalah demi masalah tanpa terkesan dari segi mental mahupun spiritual (walaupun tidak berjaya menyelesaikan masalah itu).

Melihat dari sudut yang lain, kita juga yakin tiada jalan untuk lari dari masalah hidup, kerana cabaran baru akan sentiasa datang. Tetapi, kita boleh memilih masalah mana untuk diselesaikan dan yang mana untuk dilupakan (contohnya memilih antara membahagiakan ibubapa atau membahagiakan pasangan hidup).

Bersedia menghadapi kesukaran dengan mental yang kuat merupakan satu-satunya cara untuk keamanan jiwa. Langkah pertama ini tidak menjamin ke arah penyelesaian masalah, tetapi menyediakan anda dengan baju perisai untuk berperang dengan cabaran tersebut. Mengambil langkah tertentu untuk menyelesaikan masalah mungkin menyelesaikannya, mungkin tidak, dan mungkin juga mendatangkan lebih banyak masalah. Tetapi, persediaan dari segi mental adalah amat penting supaya jiwa tersebut kekal selamat dan aman.

Rumusan


  1. Lenyap dari kewujudan adalah jawapan untuk mengakhiri masalah kehidupan (tetapi membunuh diri itu mengakhiri kembara jiwa secara pra-matang).
  2. Mengelak dari masalah tidak bermakna anda tidak akan menghadapi masalah lain. Tetapi kita boleh memilih masalah untuk dihadapi dan masalah untuk dilupakan.
  3. Untuk menang dalam hidup ini, seseorang itu harus bersedia dari segi mental. Walaupun nampak kalah dari segi material atau luaran, jiwa atau dalaman anda sudah memenanginya.

No comments:

Post a Comment